Last update01:44:52 AM GMT


You are here Utama Berita Berita Kiri KONFLIK MESIR: MALAYSIA MENYOKONG DASAR ANTI-DEMOKRASI?

KONFLIK MESIR: MALAYSIA MENYOKONG DASAR ANTI-DEMOKRASI?

  • PDF



Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak agar Kerajaan Malaysia pimpinan Barisan Nasional (BN) menzahirkan pendirian terhadap konflik Negara Mesir berikutan rampasan kuasa bagi menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata pimpinan Kerajaan Negara Turki lebih bertanggungjawab dan menyatakan bantahan terhadap rampasan kuasa yang telah dilakukan oleh Tentera Mesir yang lalu dengan menggantung beberapa perjanjian kerjasama antara Mesir dan Turki.

“Kami menyokong langkah Turki sebagai satu tekanan agar Mesir perlu mengembalikan sistem demokrasi dalam Negara mereka seperti sebelum ini dan Kerajaan Malaysia perlu juga memberikan tekanan tersebut. Bagi kami, kepada semua Negara-Negara Islam perlu menzahirkan simpati dan menolak anti-demokrasi yang sedang berlaku di Mesir kini. Negara Islam perlu menyuarakan bantahan keras terhadap rampasan kuasa yang dilakukan dan perlu mengembalikan Mesir kepada sistem demokrasi sedia ada.

“Bagi kami, kenapa perlu menjaga hati pihak yang menolak sistem demokrasi dan menjatuhkan kerajaan dengan cara rampasan kuasa? Adakah pimpinan Negara khasnya bersetuju dengan cara tersebut dan merelakan ianya berlaku tanpa boleh melakukan apa-apa tindakan sebagai protes sebuah kerajaan berdaulat? Bagi kami, mana-mana Negara Islam yang hanya bersikap ‘diam diri’ sahaja, ini bermakna mengizinkan dan membenarkan percabulan sistem bernegara dengan meruntuhkan sistem demokrasi dalam Negara mereka.

“Kami juga ingin mempersoalkan, adakah pimpinan Negara telah menghantar nota bantahan rasmi Negara di atas apa yang berlaku? Jika nota bantahan pun pimpinan Negara masih tidak mampu melakukannya, inikan membatalkan apa sahaja perjanjian kerjasama yang telah dilakukan sebelum ini sebagai protes yang boleh dilaksanakan. Malaysia perlu menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia menolak perkara yang meruntuhkan sistem demokrasi dan sebagai salah satu Negara Islam yang menjadi contoh ikutan Negara-Negara lain bersama Turki!” katanya.